LEEDS – Percaturan bijak dilakukan pengurus Leeds United, Jesse Marsch memastikan pasukan itu melakar kejutan dengan membenam Chelsea 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road malam kelmarin.
Aksi longlai ditampilkan Chelsea, selain beberapa kesilapan bodoh yang dilakukan pasukan pelawat membolehkan Leeds meledak tiga gol menerusi Brenden Aaronson, Rodrigo dan Jack Harrison.
Marsch menyifatkan barisan pemainnya sudah menampilkan aksi cukup sempurna dan berjaya menterjemah taktikal yang diterapkan ke dalam perlawanan, sekali gus merentap ego juara Eropah dua kali itu.
“Ia satu permainan yang lengkap dan sempurna daripada semua pemain.
“Kami ada beberapa pelan permainan pada perlawanan hari ini (kelmarin) dan pemain cukup bijak untuk menyesuaikan diri.
“Kami sentiasa mahu bermain dengan penuh yakin dan agresif, tidak kira siapa pun lawan. Saya hanya mahu pemain masuk ke padang dengan penuh yakin dan mereka buktikan menerusi tiga jaringan,” katanya.
Justeru, kemenangan itu merupakan satu keputusan penting buat pengendali dari Amerika Syarikat (AS) tersebut memandangkan beliau meletakkan sasaran untuk memastikan Leeds berada pada kedudukan terbaik musim ini.
“Sejak hari pertama tiba di sini, saya dapat rasakan ini adalah pasukan yang sangat baik.
“Keputusan ini sangat penting, tetapi saya tidak mahu pemain mula rasa selesa, sebaliknya perlu terus dahagakan kemenangan,” ujarnya. – AGENSI