LEEDS – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berang dengan kesilapan individu yang dilakukan barisan pemainnya ketika tewas 0-3 kepada Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road malam kelmarin.
Kesilapan paling jelas adalah menerusi penjaga gol, Edouard Mendy yang gagal mengawal bola sehingga membolehkan tuan rumah meledak gol pertama menerusi Brenden Aaronson pada minit ke-33.
Sementara itu, dua lagi gol Leeds hadir menerusi Rodrigo dan Jack Harrison, sekali gus memastikan Chelsea pulang dengan tangan kosong selepas mencatat kekalahan pertama bagi saingan musim ini.
“Kami seolah-olah berikan gol secara percuma kepada pasukan lawan gara-gara kesilapan individu yang sangat kerap serta tidak sepatutnya dilakukan. Inilah keputusan yang perlu kami hadap.
“Inilah pasukan yang saya ada dan harus berikan segala-galanya dalam setiap perlawanan. Kami masih cuba untuk kuatkan pasukan, namun ia bergantung dengan situasi semasa,” kata Tuchel.
Selain melepaskan gol hasil daripada kesilapan individu, The Blues juga kehilangan khidmat pemain pertahanan, Kalidou Koulibaly pada perlawanan seterusnya selepas menerima layangan kad merah.
Meskipun sudah berbelanja lebih £170 juta (RM900.96 juta) pada jendela perpindahan kali ini, namun Chelsea dilihat masih belum menunjukkan standard sebenar apabila hanya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan awal. – AGENSI