SAN SEBASTIAN – Penggempur utama Barcelona, Robert Lewandowski menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34 semalam dengan penuh bermakna apabila meledak dua gol menewaskan Real Sociedad 4-1.
Lewandowski cuma mengambil masa 44 saat untuk membuka tirai jaringan sebelum menyumbat gol peribadi kedua pada minit ke-68 dalam aksi La Liga di Stadium Anoeta awal pagi semalam.
Ia sememangnya melegakan para penyokong The Catalans selepas Lewandowski gagal menemui sentuhan penyudah sewaktu seri tanpa jaringan dengan Rayo Vallecano pada aksi pertama minggu lalu.
Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez juga menarik nafas lega melihat kapten Poland itu membuktikan kehebatannya selepas dibeli daripada Bayern Munich awal musim ini.
“Minggu lepas amat mengecewakan, tetapi kemenangan ini secara tidak langsung akan menguatkan semangat kami untuk menghadapi aksi-aksi seterusnya.
“Saya mengambil risiko melakukan pertukaran (dalam kesebelasan utama) kerana kami perlu lebih agresif mencari gol. Saya gembira percaturan hari ini membolehkan kami menuai hasil.
“Kami boleh dikatakan bermain dengan lima pemain di bahagian serangan dengan Raphinha dan (Ansu) Fati di separuh masa kedua,” kata Xavi.
Dua lagi gol Barcelona dalam aksi itu diperoleh menerusi Ousmane Dembele dan Fati, manakala Alexander Isak menghadiahkan jaringan tunggal buat Sociedad. – AGENSI