PARIS – Penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe menyamai rekod jaringan terpantas Ligue 1 apabila meledak gol seawal lapan saat aksi menentang Lille berlangsung awal pagi semalam.
Bintang Perancis itu menyambar hantaran cantik daripada Lionel Messi yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dengan melambungkan bola untuk menewaskan penjaga gol Lille, Leo Jardim.
Jaringan itu sekali gus menyamai rekod Michel Rio ketika mewakili Caen menentang Cannes pada 15 Februari 1992.
Bukan itu sahaja, Mbappe, 23, turut berjaya merakam hatrik dengan tambahan dua lagi gol pada minit ke-66 dan 87 membantu PSG membelasah Lille 7-1 dalam aksi di Stade Pierre-Mauroy.
Pengendali PSG, Christophe Galtier tidak terkejut dengan situasi itu kerana sudah menjangkakan anak-anak buahnya mampu ‘berpesta jaringan’ berdasarkan kerja keras ditunjukkan dalam sesi latihan.
“Setiap pemain menunjukkan kemahuan yang tinggi untuk berjaya. Ini bukanlah satu kejutan kerana mereka memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.
Selain Mbappe, Neymar turut mencipta nama sebagai penjaring apabila meledak dua gol buat PSG selain baki dua lagi gol Les Parisiens itu dijaringkan oleh Messi dan Achraf Hakimi.
Selepas tiga perlawanan setakat ini, PSG kekal menerajui carta liga dengan sembilan mata selain menghasilkan 17 jaringan dan hanya tiga bolos selepas terdahulu menang 5-2 ke atas Montpellier dan 5-0 terhadap Clermont Foot. – AGENSI