STYRIA – Pelumba sensasi Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia mengulangi sejarah menyamai rekod legenda pasukan, Casey Stoner untuk menjadi pelumba kedua menjuarai tiga perlumbaan Grand Prix (GP) berturut-turut selepas mendominasi GP Austria kelmarin.
Pada perlumbaan di Litar Red Bull Ring itu, Pecco berjaya menewaskan pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo dengan kelebihan 0.492 saat, manakala seorang lagi jaguh Ducati, Jack Miller melengkapkan kedudukan podium.
Pecco berkata, keputusan yang diraih cukup membanggakan dirinya memandangkan Litar Red Bull Ring adalah salah satu litar paling sukar dalam kalendar MotoGP.
“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia perlumbaan paling sukar pada tahun ini, tetapi pasukan sudah membuat keputusan yang tepat khususnya dalam pemilihan tayar.
“Namun, keadaan cuaca juga telah membuatkan segalanya bertambah sukar selain tekanan yang diberikan oleh Quartararo khususnya pada beberapa pusingan terakhir membuatkan kemenangan kali ini lebih istimewa,” katanya.
Sementara itu, Quartararo mengakui sudah memberikan seratus peratus di atas litar dalam usaha mendapatkan kedudukan podium selain mengakui keupayaan jentera Ducati ketika ini nampak sukar dicabar.
“Ducati sangat konsisten pada tiga perlumbaan terakhir dan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan mereka memiliki pelumba berkualiti seperti Pecco.
“Namun, saya puas hati dengan keputusan ini kerana menduduki tempat kedua adalah yang terbaik selepas gagal bergelar juara,” katanya yang masih gah mendahului carta kejuaraan dunia kategori pelumba musim ini. – AGENSI