fbpx

Sindiket dadah tumpas, 31 kilogram ganja dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah yang berjaya dirampas menerusi Ops Ophelia dijalankan sekitar ibu kota pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah dengan penahanan tujuh individu serta merampas ganja seberat 31 kilogram (kg) menerusi Ops Ophelia yang dijalankan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur melancarkan tiga serbuan berasingan di sekitar Kampung Baru dan Jalan Ampang, di sini.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya menahan dua lelaki serta seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun di lobi sebuah hotel sekitar Kampung Baru.

“Susulan itu, serbuan kedua dilaksanakan di sebuah bilik hotel dan memberkas seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bersama 1 kg ganja dan 958 gram syabu bernilai RM37,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Azmi, polis kemudian menjalankan serbuan terakhir di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Ampang dan memberkas tiga lagi lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun.

“Kita turut menemui dan merampas 30 kg ganja berjumlah RM75,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM112,500.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini didalangi seorang lelaki warga tempatan yang aktif sejak empat bulan lalu dengan menjadikan kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah,” ujarnya.

Menurut Azmi, sindiket dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negeri di utara Semenanjung sebelum dihantar ke ibu kota untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI