PASIR PUTEH – Kawasan kuala di Sungai Semerak di sini yang tertimbus sejak lebih 10 tahun lalu digali semula dalam usaha untuk menyelamatkan ternakan akuakultur di lagun sungai tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerja menggali kawasan kuala sepanjang 500 meter itu dijalankan sejak dua minggu lalu bagi membolehkan air laut masuk ke sungai tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, taman akuakultur yang membabitkan lebih 5,000 sangkar ikan di sungai itu tidak dapat berfungsi sepenuhnya berikutan air pasang berada pada jarak lebih lima kilometer dari Kuala Tok Bali.
“Keadaan itu menyebabkan lebih 1,000 penternak mengalami kerugian kira-kira RM1 juta setiap tahun kesan kualiti air yang terjejas. Justeru, kerajaan negeri memulakan kerja penggalian kuala lama yang tertimbus dengan peruntukan RM500,000 untuk peringkat awal.
“Bagaimanapun, peruntukan tambahan untuk membenteng tebing bagi mengelak hakisan. Saya akan membawa usul ini ke peringkat tertinggi kerana usaha menternak ikan kerapu hibrid dan siakap putih di taman akuakultur terbesar di negeri ini adalah penyumbang kepada sekuriti makanan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi penggalian Kuala Semerak di sini hari ini.
Menurut Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, pihaknya bersedia membantu dari aspek keperluan pembangunan kekal yang turut menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE.