GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam di tempat meletak kereta di hadapan Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru di sini malam tadi.
Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui terbaring dalam keadaan cedera parah pada bahagian kiri perut kira-kira pukul 10.30 malam.
Difahamkan, telah berlaku pertengkaran antara mangsa dengan seorang kenalannya sebelum membawa kepada kejadian pergaduhan.
Sumber berkata, mangsa yang lengkap berpakaian baju-t dan seluar jeans itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
“Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri. Anggota polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian bagi mengesahkan kematian mangsa terbabit,” katanya di sini.
Kosmo! difahamkan, polis akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung kematian mangsa dan punca kejadian dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE