PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru malam ini menjelang prosiding rayuan akhir kes dihadapinya di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.
Beliau antara lain bersumpah dirinya tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta berkaitan kes tersebut datang dari SRC International Sdn Bhd. (SRC) secara langsung atau tidak langsung.
Najib turut bersumpah tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC bagi tujuan merangkul dana SRC untuk tujuan kegunaan peribadi atau kegunaan keluarganya.
Beliau turut bersumpah tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewangkan dana SRC ke dalam akun bank miliknya untuk apa-apa tujuan.
Mantan Perdana Menteri itu seterusnya bersumpah beliau tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman KWSP kepada syarikat SRC untuk tujuan dirinya mendapat habuan haram RM42 juta tersebut.
“Sekiranya aku berdusta di atas sumpahku ini, maka Ya Allah halal laknatMu ke atas diriku. Sebaliknya jika semua ini adalah fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politikku, maka Ya Allah aku bermohon sesungguhnya kepadaMu agar Engkau laknatilah mereka serta orang yang bersubahat dengan mereka.
“Ya Allah hanya kepadaMu aku bermohon, aku bergantung serta aku berserah,” katanya di hadapan orang ramai yang hadir termasuk jemaah masjid berkenaan.
Terdahulu, Najib berkata, beliau melakukan sumpah mubahalah tersebut bagi membersihkan namanya dengan Allah S.W.T serta tidak reda rakyat Malaysia terus menjamah fitnah yang berlaku secara berterusan.
Katanya, beliau melakukan sumpah berkenaan juga demi membersihkan nama keluarganya serta nama arwah ibunya (Tun Rahah Mohamad Noah) dan arwah bapanya (Tun Abdul Razak Hussein)
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi bersama-sama mendoakan. Semoga segala doa yang telah kita doakan tadi Allah S.W.T memakbulkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi mengadakan solat sunat hajat di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE