KOTA TINGGI – Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika cuba menyusup masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah semalam.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI berusia 23 hingga 53 tahun itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).
“Melalui maklumat perisikan, Tim ronda telah mengesan pendaratan PATI di kawasan Sungai Sedili Kechil pada pukul 2 pagi.
“Pada pukul 2.45 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) berjaya menahan 13 PATI yang sedang bersembunyi di kawasan Sungai Sedili Kechil. Kesemua individu tersebut merupakan warga Indonesia yang tiada dokumen sah.
“Berikutan tangkapan ke atas 13 PATI, Tim QRF meneruskan penjejakan dan berjaya menahan seorang lagi PATI bersembunyi di kawasan berhampiran.
“PATI tersebut juga merupakan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen yang sah menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 14 orang PATI,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, kata kenyataan tersebut, Tim QRF menahan tiga PATI yang sedang bersembunyi di sekitar Jalan Teluk Ramunia hasil maklumat awam dan pos pemerhati pada pukul 8 pagi semalam.
Menurutnya, Tim QRF mendapati tiga individu merupakan warga Indonesia yang tiada dokumen sah.
“Kesemua tahanan yang berjumlah 17 PATI seterusnya dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi serta laporan kepada pihak polis.
“Mereka telah dibuat saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI negatif Covid-19. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan kesemua PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya lagi.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 6,613.17 melibatkan wang tunai dalam mata wang Malaysia, Indonesia, Thailand, Arab Saudi dan Amerika termasuk 14 buah telefon bimbit.
“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – KOSMO! ONLINE