LONDON – Penduduk Britain yang berdengkur semasa tidur kini mungkin boleh menuntut bayaran bantuan bagi mengatasi masalah tersebut, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.
Sebilangan besar individu berdengkur ketika tidur, namun sekiranya berlanjutan, ia boleh menjadi tanda kepada masalah apnea tidur.
Apnea tidur adalah gangguan tidur yang berpotensi menjadi penyakit serius di mana pernafasan berulang kali terhenti sendiri.
Menurut laporan, Jabatan Kerja dan Pencen Britain menawarkan skim pembayaran bantuan bernilai £156 (RM826) seminggu yang digelar Pembayaran Kebebasan Peribadi (PIP) bagi membantu penduduk berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
Angka menunjukkan lebih 2,200 orang menuntut pembayaran PIP buat masa ini disebabkan pelbagai keadaan.
Bayaran itu diberikan setiap empat minggu untuk mereka yang mempunyai keperluan kesihatan tertentu termasuk masalah apnea atau keadaan kurang upaya.
Bagi mendapatkan bantuan tersebut, individu perlu dinilai oleh pegawai perubatan profesional dan mengalami kesukaran dalam kehidupan seharian sekurang-kurangnya selama tiga bulan.
Mereka juga perlu menetap di Britain sekurang-kurangnya dua dari tiga tahun. – Agensi