KUALA LUMPUR – Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam telah memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan terhadapnya atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Jun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Muaz Zafar yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 32, selepas pengurusan kes itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Maryam Jamielah Ab. Manaff di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
“Pihak kami telah memfailkan notis rayuan tersebut sekitar Jun lalu dan pada masa sama turut menunggu nota keterangan dan alasan penghakiman untuk kes itu.
“Mahkamah kemudian menetapkan 13 November ini untuk sebutan pengurusan kes seterusnya,” katanya.
Turut hadir dalam prosiding itu Ahmad Saiful Islam selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi selaku responden.
Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahmad Saiful Islam selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lepas.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful menjalani hukuman penjara itu bermula pada tarikh itu dan mengarahkannya menjalani dua tahun awasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.
Mohamad Aizat ketika membuat keputusan itu berkata keterangan tertuduh tidak disokong oleh mana-mana bukti lain dan menjadikan versi pembelaan tidak boleh dipercayai.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC, di sebuah hotel di sini, pukul 2.05 pagi pada 5 Januari 2019.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 3 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam membela diri terhadap pertuduhan itu.
Seramai enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula 15 Oktober tahun lepas. – K! ONLINE