LONDON – Dua gol jaringan Wilfred Zaha dan gol ketiga dihasilkan oleh Jean-Philippe Mateta berjaya membantu Crystal Palace bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa di Selhurst Park kelmarin.
Rembatan voli menarik Mateta pada minit ke-71 yang menerima hantaran lintang Tyrick Mitchell menjadi gol penutup buat Palace selepas Zaha meledak dua gol pada minit ketujuh dan minit ke-58 apabila sepakan penaltinya ditepis Emiliano Martinez, tetapi berjaya disambar untuk gol kedua.
Kemenangan tersebut menyaksikan Palace berjaya meraih kemenangan pertama musim ini selepas seri ketika menentang Liverpool minggu lalu di Anfield dan tewas pada aksi pembukaan ketika menentang Arsenal.
Pada aksi berkenaan, Palace terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan oleh penyerang Villa, Ollie Watkins yang menerima hantaran Leon Bailey untuk membuka tirai jaringan pada minit kelima.
Pemain tengah Palace, Eberechi Eze mengakui bahawa respon yang diberikan oleh pasukannya selepas ketinggalan adalah cukup baik apabila tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan.
“Kami bekerja keras. Kami mahu memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri dan mendapatkan tiga mata. Akhirnya kami berjaya melakukannya.
“Kami cuba untuk memberikan aksi yang kreatif terutama di kawasan berhampiran kotak penalti mereka. Kami berjaya melakukannya dengan corak permainan yang baik dan meraih kemenangan ini.
“Ia bukan permulaan yang baik apabila kami ketinggalan, tetapi adalah sangat penting untuk kami fokus dan tidak mudah tertekan ketika mereka berjaya meraih gol pembukaan tersebut,” katanya. – AGENSI