PUTRAJAYA – Seorang pegawai imigresen yang tular kerana menghamburkan kata-kata kesat dan menghalau orang awam di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC), Seksyen 14, Shah Alam baru-baru ini telah ditukarkan serta-merta.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius kerana perbuatan pegawai terbabit adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu ‘Integriti, Professional, Mesra’.
“Walaupun siasatan awal mendapati ada unsur-unsur provokasi daripada orang awam, namun tindakan yang diambil oleh pegawai JIM terlibat adalah bertentangan dengan slogan jabatan.
“Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam tidak sepatutnya dilakukan oleh pegawai imigresen yang juga penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan bersikap professional apabila berdepan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi.
“Dalam perkara ini, JIM mengambil tindakan serta merta menukarkan pegawai itu ke bahagian lain dan kertas siasatan serta prosedur tatatertib juga akan dibuka oleh Bahagian Integriti.
“JIM juga kesal dengan tindakan provokasi oleh orang awam. Pelbagai kemudahan disediakan untuk memperbaharui pasport seperti permohonan dalam talian serta lanjutan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad,” ujar beliau.
Terdahulu, Kosmo! Online pada 19 Ogos lalu melaporkan tentang insiden kekecohan melibatkan seorang pegawai imigresen dan seorang lelaki di kaunter Imigresen UTC, Seksyen 14.
Kekecohan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku apabila lelaki tersebut difahamkan berang apabila tidak mendapat layanan sewajarnya ketika hadir untuk membuat pasport di fasiliti tersebut. – KOSMO! ONLINE