KUALA TERENGGANU – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bermula sejak 4 Disember tahun lalu memberi manfaat kepada 184,560 pengguna di Terengganu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, program sama juga telah menjana jualan lebih RM10.1 juta sepanjang tempoh tersebut.
“Nilai jualan itu dicatat menerusi PJKM yang diadakan sebanyak 117 sesi di seluruh Terengganu setakat 12 Ogos lalu.
“Manfaatnya kepada pengguna di negeri ini akan terus dirasai apabila program itu dijenamakan sebagai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) bermula 15 Ogos sehingga 31 Disember ini,” katanya ketika meninjau program JMKM di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Saharuddin memberitahu, program JMKM akan diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak dua kali sebulan sehingga hujung tahun ini.
Tambah beliau, setakat ini, 18 kawasan DUN telah memulakan program itu mulai 18 Ogos lalu manakala baki 14 DUN lagi akan turut serta pada minggu hadapan.
“Pengguna akan menerima manfaat membeli barangan keperluan seperti ayam mentah, minyak masak dan tepung gandum dengan harga diskaun,” katanya. – KOSMO! ONLINE