SABAK BERNAM – Seorang wanita terselamat selepas kereta Perodua Kancil dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam 0.9 meter di Jalan Besar Parit 7, Sekinchan, hari ini.
Mangsa, Siti Hamidah Abu Bakar, 44, diselamatkan orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.55 pagi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi selang masa lima minit kemudiannya didapati kereta terbabit berada dalam parit.
“Pemandunya merupakan seorang wanita dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba sampai.
“Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE