HULU SELANGOR – Seorang bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui di atas sofa sebuah kedai makan di Taman Bahtera, Ulu Bernam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar pukul 9.49 pagi daripada seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan peniaga.
Katanya, hasil siasatan polis mengesahkan bayi tersebut adalah perempuan, namun bangsanya masih belum dikenal pasti.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan bertugas mendapati bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan tiada kesan luka atau kesan gigitan binatang.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, siasatan akan diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat dan masyarakat diseru untuk tampil membuat pengaduan sekiranya mempunyai maklumat.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang pelajar menemui seorang bayi ditinggalkan atas sofa sehingga dihurung lalat sebelum bertindak menghubungi rakannya dan petugas perubatan. – KOSMO! ONLINE