fbpx

Biar fakta berbicara kejayaan setahun Keluarga Malaysia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri merasmikan Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa beliau tidak mahu mendabik dada melaungkan segala kejayaan kerajaan di bawah kepemimpinannya, sebaliknya membiarkan fakta yang berbicara.

Ismail Sabri berkata, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam suasana negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang hebat sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos 2021.

“Hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya, membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas, akhirnya kita memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April 2022.

“Selain Malaysia, seluruh dunia turut terkesan akibat pandemik ini terutama dari sudut ekonomi dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sempadan telah menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas teruk,” katanya ketika berucap pada Simposium Keluarga Malaysia, Pencapaian dan Harapan di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, situasi itu bagaimanapun semakin pulih selaras dengan pembukaan sempadan sehingga banyak petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan membanggakan mutakhir ini.

“Dari sudut politik pula, negara pada waktu saya mengambil- alih tampuk pemerintahan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan.

“Ada pihak yang meramalkan bahawa bila-bila masa sahaja kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu. Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini telah menjangkau satu tahun,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, penganjuran simposium tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan hari ini genap satu tahun pentadbiran Keluarga Malaysia yang bermula pada 21 Ogos 2021.

“Beberapa pembaharuan politik yang radikal telah saya lakukan dalam hanya setahun pentadbiran saya dan ia tidak akan berlaku tanpa sokongan semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen.

“Sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua
pihak. Alhamdulillah, kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan para penjawat awam,” ujar beliau.

Tambahnya, beliau juga akan mengumumkan sesuatu yang ‘menceriakan’ pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos ini.

“Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka-lara para penjawat awam. Tunggulah, saya pun tengah fikir ni,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI