TAIPEI – Taiwan meminta bantuan India agar dapat menghadiri Perhimpunan Agung Polis Antarabangsa (Interpol) susulan krisis pulau berkenaan dengan China, lapor laman berita India Today, kelmarin.
Permohonan itu dibuat memandangkan New Delhi akan menjadi lokasi tuan rumah Perhimpunan Agung Interpol Ke-90 pada hujung tahun ini.
Sehingga tahun 1984, Taiwan adalah sebahagian daripada anggota Perhimpunan Agung Interpol tetapi China telah mengetepikan pulau itu.
China dituduh menggunakan pengaruh dalam Interpol untuk manfaatnya.
“Taiwan bukan negara anggota Interpol. Kami tidak boleh menghantar delegasi kami ke Perhimpunan Agung.
“India adalah negara tuan rumah yang mempunyai kuasa untuk menjemput kami. Kami mengharapkan India dan lain-lain menjemput Taiwan sebagai pemerhati,” kata Pesuruhjaya Biro Siasatan Jenayah Taiwan, Huang Chia-lu.
Sementara itu, ketegangan di Selat Taiwan terus meningkat apabila kementerian pertahanan Taiwan menyatakan pada Khamis lalu bahawa lebih 50 pesawat tentera China dikesan beroperasi di sekitar pulau itu.
“Sebanyak enam kapal tentera dan 51 pesawat Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) di sekitar wilayah kami dikesan hari ini (Khamis lalu) sehingga pukul 5 petang (waktu tempatan),” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Tentera udara Taiwan juga mempamerkan keupayaan anti-pesawatnya pada Khamis lepas dan menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk bertindak terhadap sebarang situasi.
Sementara itu, pegawai pertahanan, Chen Te-huan memberitahu bahawa Taiwan tidak terjejas akibat latihan tentera China.
“Kami tidak gentar kerana latihan tetap kami dilatih untuk bertindak pada bila-bila masa sahaja. Apabila tentera China bertindak, kami sudah bersedia dengan baik,” ujarnya. – Agensi