fbpx

Pelajar sekolah antara ditahan tunggang motosikal curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FISOL Salleh (dua dari kanan) ketika sidang akhbar penahanan tiga remaja dan rampasan motosikal di IPD Barat Daya, Balik Pulau di sini petang tadi

BALIK PULAU – Tindakan tiga remaja yang menunggang motosikal dalam aksi yang mencurigakan dan tidak mengikut lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini akhirnya mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, ketiga-tiga remaja berusia 13,16 dan 17 tahun itu dipercayai menunggang dua buah motosikal dari Batu Gajah, Perak untuk pulang ke rumah masing-masing di Balik Pulau.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil siasatan mendapati remaja berusia 17 tahun bukan sahaja menunggang motosikal curi malah bertindak membonceng seorang lagi rakannya berusia 13 tahun.

”Motosikal yang digunakan suspek berusia 17 tahun itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada lesen.

”Semakan rekod mendapati motosikal ini telah dilaporkan hilang di Teluk Kumbar pada Julai tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.

Menurut Fisol, dua remaja berusia 13 dan 17 tahun itu didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak lagi bersekolah.

“Remaja berusia 16 tahun ini memiliki lesen dan motosikal yang digunakan telah didaftarkan atas namanya sendiri.

”Polis mengeluarkan empat saman ke atas motosikal tersebut atas beberapa kesalahan termasuk mengubahsuai motosikal tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis menyita kedua-dua motosikal tersebut untuk siasatan lanjut.

”Permohonan reman ke atas suspek berusia 17 tahun dibenarkan mahkamah selama empat hari manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” tambahnya. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI