fbpx

Sheryl Shazwanie mahu pengalaman bersalin normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERYL Shazwanie dijangka melahirkan anak sulungnya pada Disember depan.

BELUM setahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Sheryl Shazwanie bersyukur dan gembira kerana dikurniakan rezeki awal oleh Allah SWT untuk hamil sekali gus bakal menimang cahaya mata sulungnya tidak lama lagi.

Usia kehamilan yang kini memasuki enam bulan membuatkan pemilik nama lengkap Sheryl Shazwanie Shamsulbahri itu bertambah teruja apabila dijangka bersalin sekitar Disember depan.

Berkongsi serba sedikit tentang keadaan terkininya kepada Pose, isteri penyanyi Azzam Sham itu memberitahu dia mengalami gejala kehamilan (morning sickness) yang sangat teruk ketika empat bulan pertama selepas disahkan hamil.

“Keadaan saya ketika empat bulan pertama sewaktu hamil memang teruk. Rasa mual dan muntah-muntah. Malah bau masakan pun saya tidak boleh terima.

“Tetapi alhamdulillah, selepas empat bulan, keadaan saya semakin baik. Cuma saya mengalami penambahan berat badan mendadak sehingga ditegur oleh jururawat supaya mengawalnya dengan baik,” jelasnya.

SEJAK awal kehamilan, Sheryl mengalami alahan yang teruk sehingga muntah-muntah dan tidak dapat bau masakan.

Ujar Sheryl, sebelum hamil, berat badannya cuma 41 kilogram (kg) memandangkan dia mempunyai masalah gastrik.

Bagaimanapun, beratnya naik sehingga 10kg kepada 51kg ketika usia kandungan mencecah enam bulan.

“Jururawat tegur sebab katanya setiap bulan berat badan saya tidak boleh bertambah melebihi 1.6kg. Tetapi nampaknya bulan lalu berat saya naik sehingga tiga kilogram,” kata penyanyi berusia 25 tahun itu.

Ketika ditanya tentang jantina bayi yang dikandungnya, Sheryl berkata, dia sudah pun membuat ujian imbasan dan mengetahui jantina anak yang bakal dilahirkan nanti, namun memilih untuk merahsiakannya buat masa ini.

“Saya dan suami sudah tahu jantina anak. Tetapi kami tidak mahu dedahkannya lagi kepada sesiapa.

“Pemilihan nama anak juga kami sudah buat, cuma belum ditentukan lagi. Apa yang pasti, nama anak kami nanti adalah gabungan antara nama saya dan juga Azzam.

Nama pertama bermula dengan huruf A dan nama kedua pangkalnya huruf S,” katanya sambil ketawa.

Bercakap tentang persiapan menyambut kelahiran si jantung hati, penyanyi lagu Perasaan itu berkata, buat masa ini dia masih belum membeli apa-apa barang keperluan untuk bayi.

SHERYL dan Azzam sudah pun mempunyai nama istimewa untuk anak sulung mereka.

Bagaimanapun, kata Sheryl, rezekinya murah apabila mendapat banyak hadiah berupa barangan bayi yang diberi oleh pihak Instagram kepadanya.

“Sejak saya umumkan tentang kehamilan ini, banyak pula saya dapat hadiah berupa barangan bayi yang diberi oleh Instagram.

“Syukur alhamdulillah dimurahkan rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, Sheryl mengakui gementar menunggu waktu yang dinantikan untuk menyambut cahaya mata sulungnya nanti kerana tidak tahu akan bersalin secara normal atau melalui pembedahan caesarean (czer).

Sheryl sebolehnya mahu merasai pengalaman bersalin secara normal, walaupun diberitahu lebih sakit berbanding pembedahan. Akan tetapi, itulah pengalaman luar biasa yang dilalui oleh wanita hamil.

“Kalau boleh saya mahu bersalin secara normal. Kalau pembedahan czer, makan masa untuk sembuh. Apa yang penting, saya harap proses bersalin nanti akan dipermudahkan,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI