Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
BOLOS gol awal pada babak pertama menjadi punca Johor Darul Ta’zim (JDT) rebah 0-5 di tangan Urawa Reds di pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Saitama, Jepun kelmarin.
Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata, gol awal yang dijaringkan melalui sepakan penalti Alexander Scholz dan sepakan percuma David Moberg Karlsson ‘membunuh’ moral pemain pada perlawanan itu.
“Ini merupakan tahap tertinggi bola sepak di Asia, di mana fokus dan cara membuat keputusan oleh para pemain adalah sangat penting. Anda tidak boleh melakukan kesilapan.
“Kami juga tidak bermain dengan hantaran biasa, sebaliknya melakukan hantaran bola jauh. Saya mengingatkan pemain supaya sentiasa berpegang kepada falsafah permainan kami.
“Kami menggerakkan bola dengan lebih baik pada separuh masa kedua bagi mendapatkan cara permainan kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pada perlawanan itu, Karlsson menambah satu lagi jaringan pada babak pertama sebelum Kasper Junker meranapkan impian pasukan Harimau Selatan itu apabila meledak dua gol pada baki 10 minit terakhir permainan.
Kekalahan tersebut menamatkan perjuangan JDT pada ACL setelah melalui musim yang membanggakan layak ke pusingan kalah mati sebagai pendahulu Kumpulan I.
Bidoglio mengakui, juara Liga Super lapan kali itu berdepan tugas sukar menentang kelab-kelab dari Jepun lebih-lebih lagi Urawa juga merupakan juara ACL dua kali.
Pengendali kelahiran Argentina itu bertekad untuk bangkit kembali dalam kejuaraan tertinggi peringkat Asia itu, namun percaya proses itu akan mengambil masa.
“Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan pada pertandingan ACL setiap tahun dan saya percaya ini akan berterusan sambil kami berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Kami akan pulang dan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi diri kami,” katanya.