KUALA LUMPUR – Kehadiran pelancong dari Jepun disantuni oleh petugas kebersihan wanita warga emas tempatan yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun ketika mereka mengadakan lawatan ke Masjid Negara, di sini.
Video yang tular di Facebook itu memaparkan gelagat wanita tersebut juga turut mengajar pelancong Jepun itu beberapa perkataan Bahasa Melayu ketika berborak santai bersamanya di pekarangan rumah ibadah itu.
“Sudah makan, sudah tidur, hanya perlu tambah ‘sudah’, Bahasa Melayu mudah,” katanya ketika berbual bersama warga Jepun itu.
Kefasihan wanita warga emas itu bertutur bahasa asing meninggalkan pelbagai respon positif terhadap orang awam tentang kebaikan mampu menguasai lebih dari satu bahasa.
“Memang tak mustahil, bahasa ni kalau hari-hari praktis memang boleh kuasai,” kata Nizam Izham.
“Sebab itu kita jangan pandang rendah pada sesiapa pun walau apa pun pekerjaannya, setiap orang ada kelebihan masing-masing,” kata Suria Sue.
“Mak cik ini boleh kerja dengan pelancongan. Bukan calang-calang bahasa yang boleh dia pertuturkan” ujar Rahman Kasem. KOSMO! ONLINE.