LONDON – Chelsea membuat kejutan apabila dilaporkan mahu mendapatkan khidmat pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire ketika masa depan pemain itu yang menjadi persoalan ketika ini.
The Blues ketika ini sedang memburu khidmat Wesley Fofana dari Leicester City, namun ia dilihat sukar menyebabkan mereka mengalih tumpuan dan cuba memujuk United untuk melepaskan kapten mereka itu.
Chelsea juga dilaporkan mahu mengambil kesempatan berkenaan ketika United dikatakan berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain mereka, Christian Pulisic yang gagal untuk berada dalam kesebelasan utama ketika ini.
Maguire dilaporkan belum pasti disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Erik Ten Hag pada aksi menentang Liverpool ekoran prestasi buruk ketika United tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini.
Pengurus United itu dilaporkan serius untuk membuat pertimbangan mengetepikan Maguire selepas mereka tewas 1-2 menentang Brighton di Old Trafford sebelum dimalukan 0-4 oleh Brentford minggu lalu.
Perkembangan itu menyaksikan Ten Hag bersedia untuk membuat rombakan terutama di bahagian pertahanan apabila menanti kunjungan Liverpool menyebabkan beliau dikatakan bersedia untuk menggunakan Raphael Varane berbanding Maguire.
Bagaimanapun, pengurus dari Belanda itu masih belum membuat keputusan, namun sekiranya benar Maguire tidak berada dalam kesebelasan utama, bermakna kariernya bersama United berdepan ancaman. – AGENSI