SEBERANG PERAI – Sebanyak 3,500 Jalur Gemilang diedarkan kepada seluruh agensi, institusi, komuniti serta beberapa pertubuhan tertentu termasuk keagamaan di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, antara penerima Jalur Gemilang itu termasuk wakil dari sekolah, tabika khususnya milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta institusi keagamaan seperti masjid, kuil dan tokong.
Menurutnya, turut menerima bendera yang sama adalah balai polis, klinik kesihatan, balai bomba dan beberapa institusi pendidikan lain di Tasek Gelugor termasuk kolej komuniti, GiatMara dan sebagainya.
“Harapan saya adalah untuk melihat kempen kibar Jalur Gemilang ini menjadi satu ‘event’ (majlis) gah yang boleh memberi satu impak yang besar terutamanya kepada naluri dan perasaan generasi muda.
“Dulu (ketika pandemik Covid-19) kita edar juga (Jalur Gemilang) tapi terus kepada penerima tanpa ada sebarang majlis seperti. Jadi, apabila kita dapat berkumpul semula secara bersemuka, saya dapat rasakan kesan (kebersamaan) itu lebih kuat sekali gus mempercepatkan proses pembentukan ‘Keluarga Malaysia’ itu sendiri,” katanya.
Beliau ditemui semasa melancarkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Parlimen Tasek Gelugor di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen berkenaan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE