fbpx

2 individu kemuka tuntutan palsu RM41,000 direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK diiringi anggota SPRM Pulau Pinang di Mahkamah Majistret George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pemilik syarikat penyediaan latihan dan eksekutif kanan sebuah syarikat di sini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu bernilai RM41,442.

Perintah tahanan reman ke atas suspek lelaki berusia 56 tahun dan wanita berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Suspek lelaki berusia 56 tahun diiringi anggota SPRM.

Terdahulu, kedua-dua individu terbabit hadir dengan pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam keadaan kedua-dua tangan bergari sambil diiringi pegawai agensi tersebut.

Semalam, SPRM dilaporkan menahan dua individu itu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira pukul 4.30 petang sejurus hadir memberi keterangan.

Menurutnya, suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan-latihan tersebut tidak dilaksanakan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan hanya suspek wanita diwakili peguam, K. Mahendran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI