fbpx

Saya tak ‘koyak’, tetap saman! – Penerbit Gadis Jolobu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARALEANA berkata, pihaknya akan tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber yang didakwa menghina dan memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu The Movie.

PETALING JAYA – Penerbit Gadis Jolobu The Movie, Saraleana Nattaya Azmi mengesahkan sudah menyerahkan Notis Tuntutan (Letter of Demand) kepada YouTuber yang didakwa memfitnah filem terbitannya pada 11 Ogos lalu.

Saraleana yang juga Pengasas Bersama Zebra Studio berkata, pihaknya kini sedang menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber tersebut.

“Tuduhan YouTuber itu jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu yang dikatakan menonjolkan unsur lucah selain memburukkan budaya Minangkabau.

“Melihat caranya, dia lebih kepada menfitnah, bukan mengkritik dari sudut konstruktif. Jika memberi ulasan secara membina dan ilmiah, kami boleh terima, tiada masalah.

“Jadi proses perundangan sudah diteruskan. Notis Tuntutan yang dihantar peguam kami sudah dibalas pihak berkenaan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu prosedur seterusnya.

“Buat masa ini, itu saja yang dapat dikongsikan. Kes masih di peringkat awal proses mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, seorang YouTuber memuat naik komen yang disifatkan menggunakan kata-kata kesat dan berunsur fitnah dalam laman sosial berkenaan filem dialek Negeri Sembilan itu.

Memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial, YouTuber itu menggelarkan filem arahan CL Hor tersebut sebagai sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio dibintangi pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan bintang baharu, Ahirine Ahirudin berada di pawagam pada 4 Ogos lalu.

Sementara itu, Saraleana menafikan dia tidak boleh menerima sebarang kritikan atau cepat ‘koyak’, sebaliknya hanya mahu menuntut keadilan.

“Saya cuma mahukan keadilan. Saya bukan penerbit tiada etika dalam berkarya. Jika filem Gadis Jolobu berunsur lucah dan merosakkan adat Minangkabau, sudah tentu filem ini tidak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) sekali gus mendapat PG13.

“Saya tak ‘koyak’, tetapi apa yang dilakukan ini lebih kepada memikirkan keadilan serta nasib penerbit baharu lain andai perkara sama berlaku kepada mereka.

“Sekiranya perjuangan yang saya lakukan sekarang boleh membantu industri perfileman, saya akan teruskan,” katanya.

Tambah Saraleana lagi, tindakan tegas itu juga diambil bukan disebabkan kutipan filem terjejas memandangkan karya terbabit menyasarkan pasaran antarabangsa.

“Bercakap soal kutipan, kami memang tak fokus kutipan di Malaysia saja. Hal ini kerana, filem Gadis Jolobu lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Lagipun penonton tempatan belum sepenuhnya ke panggung. Malah, filem ini juga tidak boleh disamakan dengan kutipan Mat Kilau yang lebih sensasi kerana naskhah kami mengangkat dialek Negeri Sembilan dan adat pepatih.

“Tindakan perundangan ini diambil sebab tindakan dia bertujuan mengaibkan kami,” katanya.

Pada masa sama, pengarahnya, CL Hor berkata, filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton di platform Over-The-Top (OTT), Get Play bermula 26 Ogos ini.

“Get Play adalah konsep terbaharu yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.

“Secara ringkasnya, Get Play turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan karya tempatan ke seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI