PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara sebagai mengiktiraf sumbangan Seri Paduka Baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa, semalam.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Istana Negara, anugerah itu berdasarkan sumbangan Seri Paduka Baginda dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia dalam satu majlis di universiti berkenaan di Istanbul, Turkiye.
Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada universiti berkenaan dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat tersebut.
“Ijazah kedoktoran kehormat itu bukan sahaja begitu bermakna tetapi juga merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada Malaysia dan rakyatnya.
“Ini adalah kerana ianya adalah cerminan tahap pengiktirafan dan penghormatan bersama tertinggi antara kedua-dua negara yang sememangnya bersaudara dan sebagai negara Islam yang moden serta progresif, Malaysia dan Turkiye boleh memupuk kerjasama lebih kukuh dalam bidang pendidikan,” titahnya.
Al-Sultan Abdullah percaya inisiatif sedemikian boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam yang bersatu dan lebih kuat kerana pendidikan menjadi jalan penting untuk mewujudkan susunan sosial yang universal dan padu.
Seri Paduka Baginda juga berharap agar Turkiye menerima lebih ramai pelajar Malaysia untuk belajar di pelbagai institusi pendidikannya dan penyelidik bersama, sarjana dan pelajar, pertukaran dan perkongsian penemuan adalah beberapa elemen yang boleh diusahakan oleh institusi pendidikan.
Sementara itu, tujuan lawatan Seri Paduka Baginda ke Turkiye adalah bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Turkiye yang telah terjalin sejak 1964.
“Silaturahim kedua-dua negara telah diperkukuh dengan hubungan politik, ekonomi dan budaya yang lebih erat. Ikatan antara rakyat Malaysia dan Turkiye terus berkembang dengan semakin banyak lawatan.
“Peningkatan lawatan dan interaksi akan membolehkan kedua-dua negara mengenal pasti bidang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat,” titahnya.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dengan layanan yang terbaik diberikan kepada delegasi Malaysia semasa lawatan itu.
“Di bawah kepemimpinannya, kedua belah pihak telah mencapai tahap kekuatan baharu dalam hubungan dua hala yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” titahnya. – KOSMO! ONLINE