PETALING JAYA – Dugaan yang berat buat isteri apabila dibiarkan bersusah payah tanpa bantuan suami yang seakan ‘biawak hidup’ sehingga terpaksa menyara keluarga dengan mengutip tin kosong.
Perkara ini dikongsi oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang meluahkan rasa terkilan dan sedih dengan ujian yang dihadapi si isteri namun, dia masih tidak menceritakan perkara buruk berhubung suaminya yang tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, si isteri (Safirah) tidak mampu untuk beli barang keperluan hinggakan anaknya tidak lagi dihantar ke sekolah kerana masalah kewangan.
“Setiap hari Safirah akan keluar mencari tin-tin kosong untuk dijual supaya dapat membeli makanan harian buat mereka sekeluarga. Bukan ini sahaja, sebenarnya terlalu banyak kisah-kisah pahit untuk dikongsikan.
“Namun, redha dan sabar menjadi penguat mengharungi ujian yang dilalui. Kekuatan dan semangat yang dia peroleh dimanfaatkan dengan baik untuk mengubah hidup menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” tulisnya di Facebook.
Bukan itu sahaja, Asma’ juga menyatakan masih ramai di sekeliling kita yang masih dalam kesusahan hinggakan ada juga dapur yang sudah tidak berasap setelah sekian lama.
“Sehingga saat ini, pesanan melalui WhatsApp dan lain-lain media sosial sentiasa penuh dengan permohonan bantuan. Setiap hari pasti ada sahaja permohonan baru dari seluruh negeri.
“Tidak dinafikan begitu banyak penipu di luar sana yang telah menghubungi pihak kami. Ada sahaja helah dan rekaan cerita untuk mendapatkan duit,” katanya. – KOSMO! ONLINE.