IPOH – Seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas maut dipercayai dipukul warden selepas dia dikatakan mengamuk apabila cubaannya melarikan diri dari pusat itu gagal.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang doktor di Hospital Kuala Kangsar.
Katanya, doktor itu memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.
“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan berkenaan pada pukul 8.10 malam kelmarin.
“Mangsa difahamkan telah tidak sedarkan diri sejak pukul 7 malam. Pemeriksaan x-ray yang dijalankan mendapati terdapat kesan luka di dahi selain lebam di muka, mata kiri, dada, kedua-dua kaki dan tangan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan temu bual awal dengan pengasas pusat pemulihan itu, mangsa dikatakan bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri dari pusat berkenaan sekitar pukul 1.45 petang hari sama. – KOSMO! ONLINE.