fbpx

Maut dirempuh kereta semasa hantar bekalan ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang jururawat selepas merempuh mangsa di Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penjual ayam maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang sedang memotong di laluan bertentangan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohammad Syukrie Suludin, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh untuk menghantar ayam proses.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang jururawat yang berada di jalan bertentangan telah masuk ke laluan mangsa.

“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut merempuh motosikal Mohammad Syukrie sebelum mangsa tercampak sejauh 50 meter. Kereta yang dinaiki jururawat itu turut terbabas ke laluan bertentangan sejauh 200 meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala wanita berusia 40 tahun itu cedera parah pada bahagian kepala dan tengkuk sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI