KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu digesa agar tidak berdiam diri sebaliknya mengambil tindakan segera menyelamatkan Bukit Buchu, Kuala Nerus yang kini sedang diancam kemusnahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman berkata, aktiviti pencerobohan yang sedang berlaku di bukit yang menyimpan fosil prasejarah bernilai tinggi tersebut perlu dihentikan segera.
“Kerja-kerja konservasi bagi memulihkan struktur Bukit Buchu mesti dimulakan secepat mungkin.
“Bukit Buchu mengandungi banyak khazanah berharga sebagai sumber rujukan penting ahli geologi bagi mengkaji zaman prasejarah di negara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, khazanah fosil hidupan marin kuno dianggarkan berusia 350 juta tahun di Bukit Buchu sedang terancam disebabkan hakisan teruk ekoran aktiviti pencerobohan manusia dan luluhawa.
Kawasan tersebut adalah tapak warisan geologi yang mempunyai 1,001 khazanah saintifik bernilai tinggi susulan penemuan fosil hidupan marin kuno seperti brakiopoda, bryozoa, karang, trilobit dan krinoid.
Bazlan berkata, beliau akan terus memperjuangkan kelestarian Bukit Buchu termasuk menyuarakannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak lama lagi.
Katanya, selain menghentikan aktiviti manusia secara serta-merta, kerajaan negeri juga perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja eksplorasi yang lebih terperinci di Bukit Buchu.
“Kita mahu kelestarian Bukit Buchu terus terjaga. Saya juga berharap cadangan pakar geologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) agar galeri dibina di kawasan itu turut mendapat pertimbangan kerajaan negeri.
“Ia pendekatan terbaik untuk memberi kesedaran kepentingan memulihara tapak warisan geologi negara kepada masyarakat khususnya generasi muda,” katanya. -KOSMO! ONLINE