NEW YORK – Satu kaji selidik baharu mendapati generasi Z (Gen Z) lebih cenderung memilih laman sosial TikTok untuk melakukan carian internet berbanding enjin carian popular, Google lapor portal berita abc News kelmarin.
Hampir 40 peratus Gen Z iaitu mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012, memilih TikTok untuk melakukan carian online, demikian menurut data dalaman daripada Google yang pertama kali dilaporkan oleh akhbar TechCrunch.
“Mereka (Gen Z) memiliki jangkauan perhatian yang pendek. Mereka mahu mendapatkan maklumat dengan amat cepat dan tidak mahu melakukan proses saringan atau pengasingan maklumat,” kata Adrienne Sheares iaitu perunding media sosial yang mengasaskan kumpulan tumpuan Gen Z untuk membincangkan tabiat carian mereka.
Sheares berkata, Gen Z tidak berpuas hati dengan kualiti carian Google. Ia antara lain kerana enjin carian itu memaksa mereka ‘menyelak’ iklan yang kerap muncul pada beberapa keputusan pertama carian biasa.
Menurutnya, TikTok pula menyediakan beberapa kaedah untuk mencari kandungan dengan cepat.
“Gen Z menggunakan beberapa kaedah dan melakukan carian seperti anda dan saya lakukan. Namun, mereka juga menyukai ciri For You Page (FYP) yang memaparkan keputusan carian berdasarkan kecenderungan pengguna sebelum mereka mencarinya
FYP melibatkan melayari paparan video yang ditentukan oleh algorithma TikTok berdasarkan kecenderungan minat pengguna justeru, melakukan carian menerusi FYP lebih kepada meneroka kandungan berbanding mencari sesuatu yang spesifik.
“Jika anda kerap menggunakan TikTok, ia mengetahui agak banyak maklumat mengenai tabiat maya anda,” kata Sheares.
Katanya, video TikTok amat menarik terutamanya kepada pengguna dalam kalangan Gen Z kerana berasakan format aplikasi sosial itu memberikan mereka keputusan carian lebih menyeluruh.
Tambah Sheares, Gen Z juga lebih cenderung melakukan carian mengenai topik ringan seperti resipi, tip fesyen dan cadangan restoran, manakala mereka menggunakan Google untuk carian topik lebih serius seperti Covid-19 dan pilihan raya. – Agensi