fbpx

5,000 haiwan mati di dalam kotak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIJING – Sekurang-kurangnya 5,000 ekor haiwan peliharaan ditemui mati di dalam kotak-kotak yang diletakkan di sebuah depot logistik di bandar Luohe, wilayah Henan baru-baru ini, lapor laman berita Daily Star.

Pengasas kumpulan penyelamat haiwan Utopia, Sister Hua berkata, beribu-ribu haiwan tersebut seperti kucing, anjing, arnab dan tikus belanda diletakkan di dalam sangkar plastik serta besi sebelum dibungkus dalam kotak yang ditebuk lubang untuk pengudaraan.

“Ruang penyimpanan itu dipenuhi kotak penghantaran dengan ribuan binatang yang telah mati dan seluruh tempat itu berbau sangat busuk.

“Ia kelihatan tidak ubah seperti neraka dunia,” katanya.

Selain itu, Hua berkata, haiwan tersebut ditinggalkan dalam kotak tanpa bekalan makanan dan minuman selama seminggu sebelum pihaknya membongkar tempat berkenaan.

“Saya bersama kira-kira 20 sukarelawan penyelamat haiwan lain berjaya menyelamatkan 200 ekor arnab, 50 anjing dan beberapa ekor kucing malang itu.

“Sebahagian besar daripada haiwan tersebut telah diambil untuk dipelihara, manakala selebihnya yang mengalami sakit t­eruk dibawa ke klinik veterinar bagi diberikan rawatan,” ujarnya.

Tambah Hua, binatang tersebut dipercayai dibeli secara online sebagai haiwan peliharaan, namun terkandas di depot logistik akibat kelewatan penghantaran.

 

Antara haiwan yang ditemui mati dalam kotak penghantaran.
– WEIBO

“Insiden ini dipercayai berlaku selepas syarikat logistik berke­naan enggan menerima bungkusan tersebut yang melanggar undang-undang pengangkutan iaitu melarang penghantaran haiwan hidup.

“Salah faham pihak syarikat penghantaran dan pelaksanaan peraturan penghantaran yang tidak konsisten adalah penyebab utama kejadian ini,” jelasnya.

Sementara itu, syarikat penghantaran tersebut, Yunda memberitahu pemberita, pihaknya tidak mengetahui mengenai perkara tersebut, namun mereka dimaklumkan penghantaran haiwan hidup adalah dibenarkan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa telah mengatur untuk mengumpulkan semua haiwan tersebut dan menanamnya serta menyahkuman tempat berkenaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI