fbpx

Taruhan menjadi ‘remake’ Buat Insan Tersayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA pendatang baharu yang lahir dari program Lagu Cinta Kita musim ketiga iaitu Ahmad Syafiq dan Wawa menuai perhatian menerusi sebuah lagu 'remake' berjudul Buat Insan Tersayang.

JIKA dilihat semula, tidak dinafikan lagu-lagu malar segar era 1990-an kembali menjadi trend dan mula diminati pendengar usia muda.

Trend merakam semula (remake) lagu lama dengan susunan muzik baharu yang jauh lebih segar dibawakan penyanyi dalam kalangan budak baru nak up (BBNU) ternyata mengena sasaran.

Tahun ini sahaja, beberapa lagu popular sekitar penghujung 1990-an seperti Mahligaimu Dari Airmataku, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Dalam Diam Aku Mencintaimu diterima segenap lapisan peminat muzik.

Terbaharu, Nova Music turut mengikut jejak langkah dan tidak mahu ketinggalan dengan mempertaruhkan sebuah lagu popular berjudul Buat Insan Tersayang nyanyian asal duet Ashira dan Eddie Hamid.

Berani mengetengahkan barisan pucuk muda yang juga juara program Lagu Cinta Kita musim ketiga, Ahmad Syafiq dan rakan duetnya, Wawa Shazwa, ternyata percaturan yang dilakukan tidak gagal.

GARAPAN semula lagu Buat Insan Tersayang yang dinyanyikan Ahmad Syafiq dan Wawa disambut baik pendengar dan peminat lagu era 1990-an.

Cabar diri

Meskipun mengakui berdebar saat kali pertama ‘dilamar’ untuk menyanyikan semula lagu tersebut, namun debaran yang dilalui ternyata membuahkan hasil yang baik selain dipuji peminat.

Mahal vokal serak-serak basah dengan nada yang sedikit tinggi, Ahmad Syafiq, 22, ternyata mampu membuai halwa pendengar dengan garapan susunan muzik baharu yang jauh lebih segar.

Seperkara yang perlu dipuji dan diberi tepukan kepada kedua-dua bakat baharu ini, mereka berani mencabar diri membawakan lenggok dangdut yang bukan mudah dibawa semua orang.

Paduan dan kehebatan vokal masing-masing ditambah bakat lakonan yang dipamerkan dalam video muzik (MV) arahan Azuad Abdullah begitu lancar dan langsung tidak menunjukkan sebarang kecacatan.

AHMAD Syafiq dan Wawa merupakan juara program Lagu Cinta Kita musim ketiga.

Genre asal naskhah balada tersebut berkisarkan kesedihan dan putus cinta, namun nafas baharu yang disuntik membuatkannya sedikit kedengaran lebih rancak.

Mengenai trend merakamkan semula lagu lama, Wawa yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Darul Aman Buskers menyifatkan trend tersebut sebagai satu ‘ombak’ dalam industri nyanyian.

MV lagu tersebut yang dirakam di Desaru, Kota Tinggi, Johor yang baru sahaja dimuat naik pada 5 Ogos lalu kini boleh ditonton dalam saluran YouTube Nova Music.

Diharapkan lebih ramai pendatang baharu akan lebih berani mengambil peluang seandainya diberikan kepercayaan serta ruang untuk merakamkan barisan lagu-lagu popular yang diberi nafas semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI