BEIJING – China membeli lebih 80 tan emas dari Switzerland bulan lepas, lapor laman berita RT kelmarin yang memetik data Kastam Persekutuan Switzerland.
Jumlah import emas tersebut dilaporkan lebih dua kali ganda daripada pembelian emas pada Jun lalu dan dan lapan kali ganda lebih banyak berbanding Mei tahun ini.
Lonjakan import emas Beijing dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun. Perkembangan itu menunjukkan bahawa permintaan China untuk logam berharga semakin meningkat, selepas reda akibat perintah berkurung Covid-19 yang berkuat kuasa di bandar-bandar utama di negara itu.
“Pasaran emas masih belum boleh dikatakan hebat, namun ia nyata jauh lebih baik berbanding April 2022,” kata Pengarah Urusan firma perunding Metals Focus, Nikos Kavalis.
Laporan sama menekankan bahawa harga emas China membawa premium atau keuntungan kira-kira AS$7 (RM31.36) berbanding harga antarabangsa sekali gus menggalakkan pelabur di China meningkatkan jumlah import mereka.
Bagaimanapun, semua pengimport emas di negara komunis itu memerlukan lesen daripada pemerintah.
Harga emas global susut di bawah paras AS$1,700 (RM7,616) untuk satu auns (28.3 gram) bulan lalu berbanding lebih AS$2,000 (RM8, 960) awal tahun ini berikutan peningkatan kadar faedah yang mencetuskan penjualan besar-besaran oleh pelabur Barat. – Agensi