fbpx

Polis rampas 7 kg ganja dalam sampan hanyut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Polis Marin menemui ketulan mampat ganja di dalam sampan hanyut di perairan Kuala Perlis, awal pagi ini.

KANGAR – Polis merampas ketulan mampat dipercayai ganja seberat 7 kilogram (kg) dalam sebuah sampan kayu yang hanyut pada kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di perairan Kuala Perlis di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi Wilayah Satu menemui sampan tersebut kira-kira pukul 2 pagi tadi.

“Pemeriksaan menemui satu guni berwarna putih mengandungi tujuh bungkus plastik ketulan ganja mampat.

“Sampan kayu itu kemudian ditunda ke Jeti Kastam Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM17,500.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar dapat berhubung dengan Hotline Polis Perlis di talian 04-9872222 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI