PETALING JAYA – Proton secara rasminya melancarkan model Exora 2023 bertempat di Proton KEB Auto Sdn. Bhd. TTDI di Kajang hari ini.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah, kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk itu menerima kemas kini untuk model 2023 yang terdiri daripada penggayaan serba baharu yang merangkumi ciri-ciri penjualan uniknya.
Katanya, Proton Exora merupakan MPV buatan Malaysia pertama yang direka dan dibina dengan memikirkan keperluan rakyat Malaysia.
“Kemas kini terbaru pada Proton Exora 2023 ini dinaik taraf dan membuatkan ia lebih baik untuk semua pemandu dan penumpang.
“Dengan lebih 180,000 unit terjual sepanjang 13 tahun, Proton Exora adalah MPV segmen C dengan penjualan terbaik setakat ini dan sehingga hari ini masih mengekalkan kedudukannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara kemas kini yang dilakukan di bahagian luaran seperti logo Proton baharu di gril hadapan serta belakang dan dilengkapi lampu LED cahaya siang, roda aloi bersaiz 16 inci.
“Selain itu, model ini menggunakan kemasan dwitona, skirting sisi dan spoiler belakang, bumbung hitam dengan hiasan belakang berwarna hitam memberikan penampilan tersendiri.
“Ruang dalamanan dengan tujuh tempat duduk kulit, stereng pelbagai fungsi yang dibaluti kulit dan tempat letak tangan bahagian pemandu dan penumpang hadapan memberikan sentuhan mewah dan selesa,” tambahnya.
Jelasnya, sistem infotainmen dengan monitor skrin sentuh bersaiz tujuh inci dan Perintah Suara ”Hi Proton” yang kini popular. Navigasi dalam talian, penstriman muzik, ramalan cuaca, 4G dan Wi-Fi membolehkan pengalaman multimedia yang mewah.
“Tambahan lagi, sistem ini mempunyai sambungan telefon pintar untuk mencerminkan pautan dengan peranti Android,” katanya.
Proton menawarkan dua varian iaitu 1.6T Executive CVT yang berharga RM62,800 dan 1.6T Premium CVT RM69,800 untuk Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE