KAPTEN Kuala Lumpur City, Paulo Josue muncul wira selepas menyumbangkan gol tunggal untuk menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Keputusan itu menafikan hasrat Negeri Sembilan untuk raih kemenangan kelima berturut-turut sekaligus beri kelegaan buat pasukan tangga kedua Liga Super, Sabah.
Bagaimanapun, skuad kendalian K Devan terus kekal di tangga ketiga dengan 32 mata, dipisahkan tiga mata berbanding Sabah.
Sepanjang perlawanan berlangsung, pertahanan tuan rumah begitu berdisiplin dan Negeri Sembilan wajar menyalahkan diri sendiri kerana gagal menghadirkan jaringan dalam setiap peluang tercipta.
Negeri Sembilan memburu kemenangan kelima berturut-turut bermula cukup garang sebaliknya kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, Kevin Ray Mendoza berjaya menafikan beberapa peluang terbaik.
Ketika aksi hampir berakhir tanpa jaringan, kapten KL City, Paulo Josue akhirnya memecah kebuntuan selepas tandukkannya pada masa kecederaan berjaya melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Ahmad Syihan Hazmi.
Walaupun memulakan babak kedua dengan sedikit perlahan, Negeri Sembilan akhirnya kembali ke dalam permainan dan berjaya memaksa pemain tuan rumah turun lebih ke bawah bagi melakukan tugasan bertahan.
Minit ke-79, Ahmad Syihan tampil cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat Romel Morales dan situasi itu menambah keghairahan Negeri Sembilan untuk terus memberikan tekanan buat KL City.
Seterusnya, KL City dilihat lebih banyak berkampung di kawasan sendiri dan lebih tertumpu kepada serangan balas serta situasi bola mati. -KOSMO! ONLINE