fbpx

Penjara, sebatan sekiranya terlibat Hizbut Tahrir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Umat Islam di negeri ini yang didapati terlibat dengan fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali atau kedua-duanya.

Perkara itu termaktub dalam Seksyen 4 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Negeri Johor.

Pihak mengajar atau melaksanakan upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam di mana-mana tempat persendirian atau awam adalah menjadi satu kesalahan sekiranya bertentangan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa sedang dikuatkuasakan.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) Johor menegaskan, semua pihak perlu merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Johor pada 15 Julai 2019.

Jabatan itu mengisytiharkan HTM bercanggah dengan pega­ngan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang menjadi teras pegangan dan umat Islam di Johor.

Menurut PPSM Johor, fatwa itu telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Johor melalui Jilid 63, No. 21 dan mengikat semua umat Islam di negeri ini mengikut peruntukan di bawah Seksyen 49(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (2003).

“Seksyen itu menyebut mana-mana fatwa telah disiarkan, maka fatwa itu hendaklah meng­ikat tiap-tiap orang Islam di Johor sebagai ajaran agamanya.

“Adalah menjadi kewajipannya di sisi Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, me­lainkan jika dia telah mendapat pengecualian Jawatankuasa Fatwa berdasarkan Hukum Syarak.

“Sesuatu fatwa hendaklah di­iktiraf oleh semua mahkamah di Johor tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya,” kata PPSM dalam satu kenyataan di sini semalam.

Di Kedah, Jabatan Mufti Kedah dalam proses untuk mewartakan fatwa berkaitan pergerakan HTM yang didapati bercanggah de­ngan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, proses itu dijangka mengambil sedikit masa selain perlu dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk mendapat perkenan.

“Di peringkat kebangsaan sendiri menerusi Muzakarah Maj­lis Kebangsaan Bagi Hal Eh­wal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan fahaman Hiz­but Tahrir ini bercanggah de­ngan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI