RIYADH – Seorang pelajar Universiti Leeds di England yang berasal dari Arab Saudi dijatuhi hukuman penjara 34 tahun kerana melakukan aktiviti di laman Twitter yang disifatkan sebagai mengancam keselamatan negara, lapor akhbar Daily Star semalam.
Salma al-Shehab, 34, ketika ditahan dilaporkan sedang bercuti di Arab Saudi. Dia ditahan oleh pihak berkuasa kerana mengikuti dan mengulang ciap hantaran beberapa aktivis yang dianggap menggugat kestabilan negara.
Ibu kepada dua anak itu pada awalnya hanya ditahan untuk disoal siasat sebelum diberkas dan digari.
Sebuah mahkamah berkaitan pengganas di Arab Saudi pada awalnya menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap Salma kerana menggunakan laman online untuk mencetuskan kekacauan awam serta menyebabkan ketidakstabilan awam dan mengancam keselamatan negara.
Bagaimanapun, hukuman tersebut menjadi lebih berat apabila pendakwa raya awam berjaya meyakinkan mahkamah rayuan agar melanjutkan tempoh hukuman penjara.
Sekiranya menjalani hukuman tersebut secara sepenuhnya, Salma akan berumur 68 tahun apabila dibebaskan. Dia bagaimanapun masih mempunyai harapan untuk merayu agar mahkamah meringankan hukuman itu.
Berdasarkan perbicaraan mahkamah, Salma didakwa dengan jenayah tambahan iaitu membantu individu yang cuba mencetuskan kekacauan awam dan mengganggu kestabilan serta keselamatan awam dengan mengikuti akaun Twitter mereka.
Salma sebelum ini pernah menunjukkan sokongan kepada beberapa aktivis Arab Saudi yang hidup dalam buangan dengan mengulang ciap hantaran mereka.
Dia juga mengulang ciap seruan untuk membebaskan seorang aktivis hak wanita, Loujain al-Hathlou, yang dipenjarakan kerana lantang memperjuangkan hak wanita untuk memandu kereta.
Salma menetap di Britain untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Leeds serta disifatkan sebagai seorang yang berpengetahuan tinggi dan menentang ketidakadilan. – Agensi