PETALING JAYA – Syarikat hospitaliti global terkemuka, Hilton semalam mengumumkan pemeteraian perjanjian dengan Tradewinds Corporation Berhad untuk mengembangkan jenamanya di Malaysia, kali ini menerusi Hilton Burau Bay Resort Langkawi.
Resort berkenaan menandakan perjanjian hartanah keempat Tradewinds Corporation Berhad dengan Hilton, selepas Hilton Petaling Jaya, Hilton Kuching dan terbaharu, Waldorf Astoria Kuala Lumpur.
Dijadualkan dibuka pada tahun 2024, resort 251 bilik itu akan menjadi penawaran kedua Hilton di Langkawi, selepas The Nautilus Resort, Curio Collection by Hilton yang dijangka dibuka pada 2023.
Hilton kini mengendalikan 13 hartanah dalam tiga jenama di Malaysia dengan sembilan lagi dalam perancangan.
Naib Presiden Kanan Pembangunan, Asia dan Australasia, Hilton, Guy Phillips berkata, Langkawi ialah syurga tropika yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya dan merupakan destinasi kelas atas popular untuk pelancong antarabangsa serta domestik.
“Kami berbesar hati untuk mengembangkan perkongsian dengan Tradewinds Corporation Berhad dan membawa jenama utama Hilton serta layanan kelas dunia ke Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan.
Terletak di Teluk Burau di pantai barat Langkawi, Hilton Burau Bay Resort Langkawi menawarkan pemandangan Selat Melaka tanpa halangan serta pantai pasir putih sepanjang 600 meter, selain air laut yang jernih.
Dikelilingi hutan hujan dara menghadap Gunung Mat Cincang, Pulau Seratosa dan Pulau Burau, ia terletak pada jarak 15 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Langkawi dan 40 minit dari Jeti Kuah, berdekatan Kereta Kabel Langkawi, Pantai Cenang serta Bandar Kuah.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds Corporation Berhad, Muhammad Zainal Ashikin berkata, kerjasama keempat bersama Hilton itu menandakan sinergi kukuh antara kedua-dua syarikat.
“Kami yakin Hilton Burau Bay Resort Langkawi akan menjadi penambah baik kepada destinasi riadah popular ini dan akan diterima baik oleh penduduk tempatan serta pelawat antarabangsa,” ujarnya.