BARCELONA – Penggempur utama Barcelona, Robert Lewandowski berjanji kepada para peminat setia kelab itu bahawa mereka tidak perlu menunggu lama untuk kembali menikmati kejuaraan selepas ini.
Lewandowski yang melengkapkan perpindahan daripada Bayern Munich berharga €50 juta (RM227.43 juta) bulan lalu, turut meluahkan keinginannya untuk membantu The Catalans merampas semula gelaran La Liga musim ini.
“Saya tidak mahu dikenali dalam satu liga sahaja. Saya telah mencapai segala-galanya ketika bersama Bayern dalam saingan Bundesliga.
“Sekarang adalah langkah baharu dalam karier saya. La Liga mempunyai cabaran yang tersendiri, tetapi saya mahu membalas kepercayaan Barcelona dengan memenanginya trofi dan kejuaraan buat kelab ini,” kata Lewandowski.
Biarpun tidak menjaringkan gol sewaktu turun membuat debut ketika seri tanpa jaringan dengan Rayo Vallecano minggu lepas, tetapi kapten Poland berusia 33 tahun itu langsung tidak gusar dengan situasi tersebut.
Lewandowski pastinya berharap dapat membuka akaun jaringan bersama Barcelona dalam aksi La Liga seterusnya menentang Real Sociedad di Stadium Anoeta pada Isnin ini.
Ia bukan mudah kerana Sociedad dilihat berada pada landasan terbaik selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Cadiz hasil jaringan Takefusa Kubo sewaktu aksi pembukaan minggu lalu. – AGENSI