TAMPIN – Calon aliran Sains Tulen, STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, Chong Kai Lin, 20, berkata, dia tidak menyangkakan akan mendapat keputusan cemerlang berkenaan dan berasa sangat bertuah dapat membanggakan kedua ibu bapanya iaitu Lai Mei Tho, 51, yang hanya seorang suri rumah dan bapanya, Choong Foot Poh, 50, yang bekerja sebagai tukang wayar.
Menurutnya, kejayaannya itu adalah berkat dari ilmu yang diperoleh di sekolah yang diberikan oleh guru serta usahanya bagi memastikan tiada kesilapan kecil yang dilakukannya semasa sesi pembelajaran.
“Tamat sahaja peperiksaan saya terus bekerja di pasaraya (Tampin Shopping). Malah, saya akan teruskan bekerja di pasaraya ini bagi tujuan pengalaman hidup serta mencari wang bagi tujuan pembelajaran sehinggalah dapat menduduki mana-mana universiti awam (UA).
“Saya sangat berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia dan telah memohon untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kelicap, di sini, tadi.
Sementara itu, Pengetua sekolah terbabit, Zul Senin berkata, sekolah berkenaan mencatatkan sejarah terbaik apabila dua daripada 47 calon STPM mendapat keputusan PNGK 4.0.
Menurutnya, seramai 25 pelajar sekolah ini mencatatkan keputusan PNGK 3.0 ke atas berbanding 16 org pelajar pada tahun lepas dengan peratus kelulusan 100 peratus serta PNGK STPM telah meningkat daripada 2.62 kepada 2.92.
“Ini merupakan pencapaian terbaik STPM TBS dalam tempoh 10 tahun dan dijangka 37 daripada 47 calon ini layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE