fbpx

Nama boleh tukar, sejarah tak berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Azri Iskandar menjadi artis terbaharu yang membuat keputusan untuk menukar nama namun membatalkan niat tersebut akibat bantahan daripada anak-anaknya.

“GEE (ganti nama dalam kalangan media hiburan), kelakar betul cerita pelakon Azri Iskandar nak tukar nama jadi Azri Alexander baru-baru ini,” seloroh pembuka bicara saat bertemu mata dengan seorang teman juga penulis sebuah portal hiburan baru-baru ini.

Kami berpandangan dengan pipi kejang menahan rasa sebelum semua berderai jadi tawa.

Katanya, apa yang lebih kelakar apabila tak lama selepas dihubungi untuk meminta tolong menguar-uarkan pengumuman mahu tukar nama, dia sekali lagi diminta menulis berita lain, nak tarik balik.

“Abang tak jadilah tukar nama, anak-anak marah,” kata artis terbabit naif di hujung talian. Lalu kisah berbolak-balik, cerita tukar nama tak kesampaian itu mula melata.

Kisah enteng, tetapi itulah secebis realiti selebriti tanah air sepanjang dua minggu ini. Di tengah segala sensasi tunjuk video solat dan gelek gedik cari tontonan, isu tukar nama tak jadi Azri Iskandar sempat mencelah mengisi perhatian netizen.

Selama menjadi aktor, Azri bukanlah figura sensasi. Wajah jantan, tampan dan sedikit bengisnya menjadikan Marsani dalam Pontianak Harum Sundal Malam itu semacam sukar didekati walhal tidak.

Cuma selepas kisah cerai dengan Ellie Suriati dan kononnya sudah bertemu pengganti membuatkan apa saja yang terbit dari mulutnya, menjadi cerita berpotensi ‘tarik tontonan’. Sama ada diketawakan atau dirasakan ‘tua-tua baru nak kontroversi’ itulah Azri sekarang.

Sebenarnya, kisah tukar nama dalam kalangan selebriti bukan lagi asing. Pelakon Lisdawati asalnya menggunakan nama pentas Nisdawati tetapi ditukar dengan alasan Nisdawati memberi makna tidak bagus. Artis lain yang pernah tukar ejaan nama termasuklah Saharul Ridzwan mulanya dieja Shahrul Ridzwan dan Nadia Mustafar menjadi Nazia Mustafa.

Artis lain yang terjebak isu tukar nama termasulah Yana Samsudin, Putra Amaris, Aida Khalida, Nourul Wahab, Alyah dan jangan tidak tahu sutradara wanita, Erma Fatima juga mahu namanya dieja Eirma.

Rapper popular yang sekian banyak mencipta sensasi dengan nama Caprice juga tiba-tiba mahu dibahasakan Daddycap selepas berkahwin dengan ibu tunggal anak satu. Si cantik Sofea Albarakbah juga sebelum ini ditulis sebagai Sophia Koshka.

Jika ada berasakan pertukaran ini mengelirukan, jawapannya, ya! terutama dalam penulisan yang memerlukan keseragaman. Jadi untuk bakal selebriti, pilihlah dulu nama yang betul-betul dirasakan boleh memberi impak dan akan kekal sampai bila-bila.

Jangan nanti sudah bertahun-tahun dikenali alih-alih mahu tukar nama, untung nasib timbul. Mereka yang tukar nama, media sebagai perakam cerita juga kena ikut rentak, sekali tersasar dituding pula tidak ikut perkembangan.

Nama adalah ganti diri kepada maruah, reputasi dan identiti. Nama juga segala-galanya. Jika tidak, masakan ada pepatah berbunyi, manusia mati meninggalkan nama. Tinggal lagi, nama juga boleh ditukar, namun sejarah tidak boleh diubah. Jika sudah busuk, nama yang baik sekalipun dipandang jelik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI