PASUKAN Sabah tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, pasukannya berada dalam prestasi terbaik selepas menewaskan Melaka United minggu lalu dan berharap dapat mengulangi pencapaian sama ke atas JDT.
“Saya sedar jika kami menang, ia tidak banyak memberi kesan kepada kedudukan liga, namun keputusan itu mampu membuka peluang buat pencabar lain.
“Apa yang pasti, saya mahu pemain tunjukkan karakter dan semangat juang yang luar biasa tanpa ada mentaliti mengalah sebelum bertanding.
“Kedua-dua pasukan akan beraksi dengan 11 pemain dan tiada apa yang perlu digentarkan meskipun harus diakui JDT adalah pasukan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Kurniawan mengesahkan pasukannya tidak bercadang meminta penangguhan aksi menentang JDT ekoran keputusan ujian calitan Covid-19 yang dilakukan oleh semua pemain dan pegawai adalah negatif.
“Semuanya masih berada dalam keadaan baik setakat ini buat pasukan Sabah dan tiada pemain kami dijangkiti Covid-19, malah kami sendiri ada melakukan langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sementara itu, JDT yang dibimbing Benjamin Mora, hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan kedua terakhir Liga Super untuk mengesahkan kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut.