MILAN – Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte mengakui, masih terlalu awal untuk meletakkan pasukannya sebagai pencabar utama kejuaraan Serie A musim ini selepas menewaskan Benevento Calcio 5-2 di Stadium Ciro Vigorito awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Conte memuji keserasian yang dipamerkan anak-anak buahnya meskipun skuad kendaliannya dibarisi ramai pemain baharu, tetapi masih tidak kekok untuk melakukan kombinasi serangan yang cukup memuaskan hatinya.
“Saya melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama untuk perlawanan ini. Ia ternyata tidak memberi masalah terhadap prestasi pasukan kerana pemain-pemain menunjukkan keserasian yang cukup jitu.
“Barisan pemain baharu juga menyerlah seperti Achraf Hakimi dan saya sangat berpuas hati dengan sumbangan mereka. Punca kami bolos dua gol dalam perlawanan ini disebabkan serangan balas pantas pihak lawan,” katanya.
Sementara itu, Hakimi yang dibeli daripada Real Madrid pada Julai lalu, berjaya meledak jaringan pertamanya buat Inter selain gol-gol daripada Roberto Gagliardini dan Lautaro Martinez serta dua daripada Romelu Lukaku.
Kata Hakimi, corak taktikal dan falsafah bola sepak diterapkan Conte cukup mudah difahami selain percaya karakter juara dipamerkan Inter ketika ini mencerahkan peluang mereka untuk meraih gelaran Scudetto musim ini.
“Ini adalah permulaan positif dalam karier saya bersama Inter. Saya percaya jika pasukan memberikan komitmen penuh seperti ditunjukkan hari ini, kami boleh menjulang beberapa trofi penting termasuk Serie A musim ini,” jelasnya. – AGENSI