BENTONG – Seorang lelaki warga asing maut dipercayai dibunuh dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki di kawasan kebun sayur di Lebu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, mangsa yang bekerja di kebun sayur itu mengalami kecederaan parah dipercayai akibat bergaduh dengan seorang lelaki yang juga warganegara asing.
“Mangsa yang berusia 27 tahun dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan rawatan namun meninggal dunia pada pukul 5.40 pagi.
“Susulan itu polis berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 26 tahun di kebun sayur berkenaan dan merampas sebilah pisau berukuran 0.3 meter dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya siasatan giat dilakukan dan punca pergaduhan serta punca kematian masih belum dikenalpasti. – KOSMO! ONLINE.