fbpx

Liga Super: KDA FC sekadar seri dengan Sabah FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Sabah FC, Mohd. Rizal Ghazali cuba menahan asakan Ronald Ngah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC kempunan untuk mencipta kemenangan di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Sabah FC pada aksi Liga Super pada malam ini.

Keputusan itu menyebabkan pasukan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang diperoleh.

KDA FC membuka jaringan menerusi tandukan penyerang import Ronald Ngah Wanja seawal minit keenam.

Sabah yang kini menghuni tangga kedua carta kemudian cuba mengasak kubu tuan rumah dengan bekas kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar menggerakkan serangan ke pintu gol bersama rakan sepasukannya.

Namun, tiada jaringan terhasil termasuk usaha anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang mahu menambah jaringan bagi menjarakkan kedudukan.

Ketika permainan waktu sebenar berbaki 10 minit, pemain sayap Sabah, Farhan Roslan memusnahkan impian bekas pasukannya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-84.

Farhan yang digelar ‘Messi Kedah’ ketika bersama Sang Kenari menyambar umpanan Saddil Ramdani dngan kaki kirinya bagi menewaskan Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pemain antarabangsa Jordan, Mahmoud Al-Mardi mendapat peluang untuk meledak gol kemenangan KDA pada minit ke-90, namun sepakan percuma dari luar kotak penalti berjaya ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman juga hampir memastikan pelawat membawa pulang tiga mata, namun sepakan leretnya dari arah kanan hanya melewati tiang gol ketika Mohd. Ifwat dilihat sudah tertewas.

Tambahan masa lima minit daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin bagaimanapun tidak berjaya diambil peluang oleh kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat dibunyikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI