PENYERTAAN kali kedua dalam saingan Liga Fantasi Kosmo! membawa tuah buat Radzi Shamsudin apabila berjaya menjadi salah seorang pemenang mingguan untuk perlawanan minggu kedua sebelum ini.
Membimbing pasukan Tentera Berkuda, dia memastikan pasukannya berada dalam kelompok lima pasukan yang mengutip mata tertinggi mingguan selepas kesebelasan utama yang dibariskan menghasilkan 97 mata.
Meskipun masih di awal musim, namun pengurus dari Kota Bharu itu memasang hajat tinggi apabila meletakkan sasaran untuk menamatkan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23 di kedudukan 10 pasukan teratas.
“Perasaan tentunya gembira dan sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat menjadi salah seorang pemenang mingguan. Memandangkan peserta musim ini tidak ramai, jadi peluang untuk menang lebih tinggi.
“Tips yang saya dapat hasil daripada menonton video di YouTube selain melakukan analisis sendiri nyata berbaloi. Saya harap untuk tamatkan musim ini dalam kelompok 10 pasukan terbaik,” katanya.